Breaking

Monday, October 27, 2014

SERIUS! - Saintis Kobe Ramal Jepun Lenyap 100 Tahun Lagi Akibat Gunung Berapi

TAOTAUAJER - Jepun mungkin musnah sama sekali akibat letusan gunung berapi pada abad akan datang dengan semua 127 juta penduduknya terbunuh.


Pakar yang menganalisis corak letupan gunung berapi di negara itu berkata, bukan sesuatu yang melampau untuk meramalkan bencana alam itu akan melenyapkan negara Matahari Terbit itu dari muka bumi ini.

Saintis di Universiti Kobe meramalkan demikian selepas membuat kajian di kawah gunung berapi di Pulau Kyushu yang meletup tujuh kali sepanjang 120,000 tahun lalu.

Mereka meramalkan satu lagi letupan di pulau di selatan negara itu akan menimbus 7 juta penduduk dengan lahar, sementara angin arah barat akan bertiup membawa sama debu tebal ke pulau lain.

Awan toksik itu akan menjadikan pulau sekitar tidak boleh didiami sementara usaha menyelamat 120 juta penduduk di sekitar bandar besar akan menjadi sia-sia.

Professor Yoshiyuki Tatsumi dan Keiko Suzuki berkata, ancaman letupan sedemikian berlaku dalam masa 100 tahun lagi adalah sekitar satu peratus.

Bagaimanapun, mereka berkata, anggaran itu tidak boleh dipandang ringan.

Menurut mereka, kajian kemungkinan gempa bumi melanda Kobe dalam masa 30 tahun adalah satu peratus, sehari sebelum gegaran 7.2 magnitud itu memusnahkan bandar pelabuhan berkenaan pada 1995, meragut 6,400 nyawa.

“Kerana itu, tidak mengejutkan jika letupan kuat berlaku di Pulau Kyusu akan berlaku bila-bila masa,” menurut profesor berkenaan.

Hasil kajian itu diumumkan beberapa minggu selepas Gunung Ontake di tengah Jepun meletup bulan lalu, mengorbankan 61 orang.-Agensi 


Adbox