TAOTAUAJER - Kejam dan tidak berhati perut! Hanya kerana didakwa nakal, seorang pengasuh sanggup mengikat kaki dan tangan seorang kanak-kanak yang baru berusia tiga tahun.
Namun, intuisi seorang ibu yang berasa pelik dengan keadaan anaknya yang lapar ketika pulang sejak beberapa hari lalu, mengambil keputusan menerjah rumah pengasuh tersebut yang terletak di Taman Sri Pinang, Butterworth, Pulau Pinang.
Menurut laporan akhbar Harian Metro, sangkaan ibu tersebut tepat apabila mendapati anaknya diperlakukan sedemikian rupa.
Malah, ketika kejadian, pengasuh terbabit tiada di rumah dan hanya meninggalkan anaknya yang berusia 11 tahun untuk menjaga kanak-kanak malang itu.
Lantas, wanita tersebut yang bekerja di sebuah kilang terus membuat laporan polis dan pengasuh itu ditahan pada hari sama.
Menurut satu sumber, “Wanita berusia 38 tahun itu menghantar anak lelakinya ke rumah pengasuh berusia 39 tahun di kawasan flat sama, sejak Jun tahun lalu dan pada hari kejadian, dia menghantar anaknya seperti biasa jam 5.30 pagi.”
“Sebelum ini, tiada masalah, namun wanita itu curiga selepas anaknya pulang daripada rumah pengasuhnya dalam keadaan lapar sejak beberapa hari lalu.”
“Pengasuh mendakwa mengikat tangan kanak-kanak itu menggunakan tali pinggang dan kaki dengan tali kerana dia terlalu nakal, namun tiada kecederaan lain dilaporkan pada mangsa.”
Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) mengesahkan laporan berkenaan dan berkata, suspek akan ditahan sehingga esok bagi siasatan lanjut.
sumber : Harian Metro