Satelit penyelidikan Jerman yang tidak lagi berfungsi terhempas di Asia Tenggara awal pagi tadi, menurut seorang saintis Amerika Syarikat, tetapi tiada seorang pun yang pasti di mana.
Menurut Pusat Aeroangkasa Jerman, kebanyakan bahagian satelit sebesar van mini itu dijangka hangus apabila memasuki atmosfera pada kelajuan sehingga 450 kilometer sejam tetapi kira-kira 30 serpihan seberat 1.7 tan metrik mungkin selamat dan terhempas.
Jonathan McDowell dari Harvard-Smithsonian Center for Astrophysics di Cambridge, Massachusetts, berkata satelit berkenaan mungkin jatuh di Asia Tenggara.
Katanya, dua bandaraya China dengan jutaan penduduk iaitu Chongqing dan Chengdu, berada di laluan satelit itu sewaktu kemasukan semula.
“Tetapi jika ia jatuh di kawasan berpenduduk, sudah tentu kita sudah memperoleh laporan sekarang,” katanya.
Pengiraan berdasarkan data tentera AS menunjukkan serpihan satelit itu mungkin terhempas di Lautan Hindi di timur Sri Lanka atau di Laut Andaman di luar pantai Myanmar atau di pedalaman Myanmar atau China. – AP