TAOTAUAJER - Seorang nenek berusia 77 tahun dari New York muncul juara satu pertandingan angkat berat selepas berjaya mengangkat bebanan seberat 97 kilogram pada bulan lalu.
Nenek tersebut, Willie Murphy muncul juara kategori wanita dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Persekutuan Angkat Berat Dunia di Riverdale di Georgia, Amerika Syarikat.
Selain kemampuan mengangkat bebanan, Murphy juga mampu melakukan senaman dengan sebelah tangan seperti tekan tubi dan senaman tangan yang lain.
Murphy yang mempunyai berat badan 47 kilogram berkata, dia mula menceburi sukan angkat berat selepas melihat satu iklan pertandingan angkat berat amatur beberapa tahun lalu.
“Saya bertanya kepada penganjur adakah wanita seperti saya boleh memasuki pertandingan ini dan mereka berkata tiada masalah jika saya mampu melakukannya.
“Sejak itu saya mula berlatih mengangkat berat dan saya gembira kerana ramai golongan muda mendapat inspirasi daripada kejayaan saya,” katanya. – Agensi