LEBIH RM70,000 wang syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen, bertaburan di atas lebuhraya di KM234, Susur Keluar Pedas, di Rembau
REMBAU 18 Jan. – Kebiasaannya orang ramai tidak berani menghampiri kemalangan jalan raya, lebih-lebih lagi jika ia berlaku di tengah lebuh raya.
Namun keadaan itu berbeza hari ini apabila pengguna lebuh raya sanggup bergadai nyawa untuk mengutip duit syiling 10 sen, 20 sen dan 50 senyang bertaburan sepanjang 100 meter di atas Lebuh Raya Utara-Selatan dan kawasan rumput berhampiran di sini.
Semuanya disebabkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux yang membawa sebuah peti besi besar berisi duit syiling dirempuh sebuah kereta BMW sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 234, susur keluar Pedas, dekat sini, petang ini.
Ketika ini, orang ramai masih berpusu-pusu mengutip lebihan duit syiling sehingga anggota polis terpaksa mengawal keadaan kerana bimbang kejadian lebih buruk akan berlaku di lokasi kejadian. – Utusan