Breaking

Sunday, September 4, 2016

INFO! - Virus Zika 5 perkara penting yang anda WAJIB tahu

TAOTAUAJER - Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO) baru-baru ini memberi amaran virus Zika, yang disebabkan gigitan nyamuk mungkin tersebar secara meluas di seluruh benua Amerika. Virus itu dikesan kali pertama pada spesis monyet sekitar 1947.


Ia tersebar secara besar-besaran di Amerika apabila jangkitan pertama kali dikesan di Brazil pada Mei lepas.

Apa itu Zika Virus?

Demam Zika adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika (ZIKV).

Ia disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi.

Penyakit ini menunjukkan tanda-tanda yang menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjuktivitis serta ruam.

Di Brazil, ia dilapor terdapat peningkatan kelahiran bayi yang mengalami sindrom mikrosefali (microcephaly) atau otak kecil dan buat masa ini belum lagi diketahui penyebab sebenar kejadian tersebut.

Namun, mereka percaya kecacatan ini mungkin ada kaitan dengan wabak Zika.

Boleh dirawat?

Pada masa ini tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit Zika.

Menurut WHO, mereka yang dijangkati dinasihati untuk minum air dengan kuantiti yang banyak serta merawat kesakitan badan serta demam dengan ubat-ubatan yang biasa.

Negara mana yang terjejas?

Jangkitan virus Zika, kini sudah ditemui di 21 negara Caribbean, Utara dan Selatan Amerika.

Antaranya ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Dominican Republic, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, dan Venezuela.

Perlukah anda membatalkan lawatan anda?

Menurut satu kenyataan media WHO, mereka menasihati orang ramai untuk tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang dijangkiti virus Zika.

Namun, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 19 Januari, buat masa ini pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan ke negara-negara yang dijangkiti virus.

KKM bagaimanapun menyarankan orang ramai yang ingin melawat ke negara-negara yang dijangkiti virus Zika agar mengambil langkah-langkah pencegahan yang sama digunakan untuk mengelakkan penyakit denggi.

Langkah-Langkah pencegahan

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan yang dikemukakan oleh KKM;

1. Elakkan dari gigitan nyamuk dengan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang, menggunakan repellent (bahan untuk mengelakkan/menangkis nyamuk pada kulit yang terdedah) dan tidur di tempat yang berkelambu.

2. Elakkan daripada melakukan aktiviti luar sepanjang tempoh waktu puncak gigitan nyamuk aedes ini, iaitu beberapa jam sebelum senja dan selepas subuh.

3. Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan tanda dan gejala penyakit ini semasa berada di negara dijangkiti atau setelah pulang ke Malaysia, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr.Noor Hisham bin Abdullah berkata KKM akan terus mempertingkatkan pemantauan kejadian jangkitan virus Zika di Malaysia.

Malah, agar orang ramai juga dinasihati untuk mempertingkatkan aktiviti mencari dan memusnah bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya.


Adbox