Breaking

Saturday, April 7, 2012

Berita! - Pereka Porsche 911 meninggal

FRANKFURT, Jerman - Pereka model kereta sport Porsche 911, Ferdinand Alexander Porsche meninggal dunia pada usia 76 tahun.


Cucu pengasas jenama automotif mewah itu menghembuskan nafas terakhirnya di Salzburg, Austria kelmarin. Punca kematiannya tidak didedahkan.

Dikenali sebagai F.A dalam kalangan kakitangan Porsche, beliau mengetuai sebuah firma reka bentuk pada tahun 1960-an.

Firma tersebut diberi tugas menggantikan model Porsche 356.

Porsche kemudian tampil dengan idea reka bentuk yang kemas, selain menggantikan enjin empat silinder kepada enjin lebih berkuasa iaitu enam silinder.

Model Porsche 911 dihasilkan pada tahun 1963. Sudah memasuki generasi ketujuh, model itu terus dikenali sehingga ke hari ini.

Pada asalnya, Porsche mahu menggunakan nama 901.

Namun, nombor itu ditukar kerana pengeluar kereta dari Perancis, Peugeot mendakwa pihaknya sudah mempatenkan nama kenderaan dengan nombor '0' pada bahagian tengahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Matthias Mueller menyatakan penghormatannya ke atas Porsche dan menyifatkan beliau sebagai pengasas budaya reka bentuk dalam syarikat Porsche yang menjadikan kereta sport Porsche dikenali sehingga ke hari ini.

Lahir di Stuttgart, Jerman pada tahun 11 Disember 1935, Porsche ialah anak Ferry Porsche.

Beliau melanjutkan pelajaran ke Ulm School of Design dan menyertai syarikat Porsche pada tahun 1958.

Pada tahun 1972, Porsche menubuhkan Porsche Design Studio yang bertanggungjawab mereka bentuk askseori seperti cermin mata, jam dan pen. - Agensi

SUMBER | Kosmo!
Adbox